.::TINTA GB::.


.:SEKAPUR SIRIH:.



           Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat meneruskan agenda pendidikan kita demi kecemerlangan anak bangsa dan negara. Semoga kita semua diberi kesihatan dan kekuatan serta semangat yang tinggi olehNya bagi meneruskan agenda bagi tahun ini dengan jayanya. Laman blog ini diharapkan dapat menyediakan maklumat terkini SK Taman Ria dan memudahkan guru-guru mencapai bahan-bahan yang diperlukan dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan teratur dan berkesan. 


         Pihak pentadbiran merakamkan sekalung tahniah dan terimakasih ditujukan kepada semua warga SK Taman Ria atas kejayaan sekolah kita dalam pelbagai bidang. InsyaAllah marilah kita bersama-sama sederap melangkah pada tahun ini untuk melonjakkan kecemerlangan SK Taman Ria sebaris dengan sekolah-sekolah cemerlang daerah Kulim. 

         Pihak pentadbiran juga berharap pada tahun ini pencapaian kokurikulum dan koakademik dapat dimantapkan lagi memandangkan sekolah kita mempunyai potensi yang tinggi dikalangan kuantiti murid yang ramai dan terdapat jurulatih peringkat daerah dan negeri. Sekalung tahniah kepada pasukan sekolah yang mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertadingan terutama yang berjaya keperingkat kebangsaan. sesungguhnya setiap murid mempunyai bakat masing-masing untuk kita gilapkan. Semoga tahun ini akan membuahkan hasil yang lebih cemerlang dalam bidang kokurikulum dan koakademik. 

      Pembentukan sahsiah yang tinggi merupakan tunjang kejayaan kehidupan seseorang insan di dunia mahupun akhirat. Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan oleh unit HEM dalam merealisasikan hasrat pembentukan tingkah laku, sikap serta penampilan terpuji di kalangan anak-anak SK Taman Ria. Komitmen dan dedikasi semua pihak diucapkan ribuan terima kasih. 

           Pengajaran dan pembelajaran (pdp) merupakan nadi utama di sekolah. Ia merupakan suatu proses kompleks yang memerlukan perhatian, penilaian dan kajian yang berterusan. Menurut Magisos (1989 ), sebaik-baik guru adalah mereka yang berpengetahuan tinggi, mahir dalam bidang teknikal dan cekap menjalankan tugas sebagai seorang guru. Guru merupakan elemen yang penting dalam membangunkan sistem pendidikan. Pengajaran yang berkualiti adalah fokus utama sekolah pada tahun ini.

             Dengan terbentuknya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), diharapkan semua warga sekolah membuka minda ke arah sistem pendidikan yang memerlukan murid menguasai kemahiran yang tinggi dalam abad ke-21. Dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, kita sebagai guru haruslah berada dibarisan hadapan dalam mengubah sistem penyampaian kita ke arah penekanan kemahiran murid berfikir secara kreatif dan kreatis serta menekankan kemahiran berfikir aras tinggi dikalangan murid. 

                 Akhir kata, pihak pentadbiran penuh yakin kecemerlangan mampu kita miliki dengan kekuatan pasukan kerja guru-guru yang cemerlang. Keharmonian yang telah wujud antara kita perlulah dikekalkan. Ingatlah kerja itu sebagai ibadah. Sekian, terima kasih. 

"SKTR DI MERCU"

Ikhlas daripada : Puan Rosnah binti Hamzah, GB SK Taman Ria

No comments:

Post a Comment